KUCHING, 22 Mac: Seramai 120 kanak-kanak dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang diraikan pada Program Sinaran Aidilfitri 2025 anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang yang berlangsung di Mydin Petra Jaya, di sini, hari ini.
Naib Ketua Cawangan PBB Samariang, Shaukat Khan Ishtiaq berkata, program kebajikan berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan hampir 20 tahun bagi membantu asnaf dan anak yatim di kawasan tersebut menjelang perayaan Aidilfitri.
“Program ini bermula dahulu di Boulevard ketika saya masih lagi pemuda, namun kini diadakan di Mydin bagi memudahkan lagi urusan keluarga penerima.
“Tahun ini kita meningkatkan nilai bantuan daripada RM150 kepada RM200 setiap seorang, berikutan cabaran ekonomi semasa yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui media pada Program Sinaran Aidilfitri 2025 di Mydin Petra Jaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shaukat memberitahu, daripada keseluruhan penerima, seramai 95 kanak-kanak dibawa membeli-belah secara langsung di Mydin manakala baki 25 orang menerima kunjungan secara terus ke rumah melalui program Jejak Kasih yang turut menerima sumbangan bernilai RM200.
Beliau turut berharap bilangan penerima bantuan dapat ditingkatkan sehingga 300 orang pada tahun akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak dari 20 ranting yang terdapat di kawasan Samariang.
Sementara itu, bagi salah seorang penerima, Jeffery Suhaili, 52, yang bekerja sendiri, dia berasa amat terharu dengan bantuan yang disumbangkan Pemuda PBB Samariang kepada golongan memerlukan.
“Terima kasih kepada pemberi kerana ini merupakan julung kalinya saya mendapat bantuan dalam program ini, walaupun ada juga pada program lain sebelum ini.
“Insya-Allah, sumbangan ini serba sedikit dapat meringankan beban para asnaf terutamanya yang berada di kawasan N.7 Samariang. Terima kasih kepada Datuk Sharifah Hasidah dan ahli-ahli yang terlibat,” ujarnya.
Manakala, bagi seorang suri rumah, Nur Hidayah Sanaui, 38, dia berharap program sedemikian akan dapat diteruskan pada masa hadapan supaya manfaatnya terus dinikmati oleh anak-anak sekali gus mengurangkan beban kewangan ibu bapa berpendapatan rendah seperti golongan B40.
Program Sinaran Aidilfitri kali ini melibatkan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah dari kalangan asnaf dan anak yatim di kawasan Samariang.-TVS