Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. Foto AFP

Trump tandatangan perintah bubar Jabatan Pendidikan AS

ByBernama

WASHINGTON, 21 Mac: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani perintah eksekutif bagi membubarkan Jabatan Pendidikan, menjadikannya agensi persekutuan terbaharu yang disasarkan selaras dengan matlamat konservatif yang telah lama diperjuangkan.

Trump berulang kali menyifatkan jabatan itu sebagai pembaziran dan menegaskan bahawa dana pendidikan sepatutnya dikendalikan oleh setiap negeri, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu majlis di Rumah Putih, beliau berkata bahawa AS membelanjakan lebih banyak wang untuk pendidikan berbanding mana-mana negara lain—baik dari segi jumlah keseluruhan mahupun perbelanjaan setiap pelajar—namun keputusan yang diperoleh masih tidak memuaskan.

“Kita kembalikan kuasa pendidikan kepada negeri-negeri, di mana sepatutnya ia berada. Ini adalah langkah yang popular, tetapi yang lebih penting, ia masuk akal—dan ia akan berjaya.

“Perkara ini telah dibincangkan selama berdekad-dekad, tetapi tiada presiden yang benar-benar melaksanakannya. Kini, saya melakukannya,” katanya ketika berucap di East Room.

Agensi persekutuan ditubuhkan melalui Kongres dan hanya boleh dibubarkan melalui tindakan legislatif.

Menyedari hakikat itu, Trump berkata perintah eksekutif ini akan “memulakan proses pembubaran Jabatan Pendidikan persekutuan secara menyeluruh.”

Beliau memberi jaminan bahawa fungsi utama, termasuk geran Pell untuk pelajar kolej, pembiayaan bagi kanak-kanak kurang upaya serta sokongan kepada sekolah di daerah berpendapatan rendah, akan dikekalkan tetapi dipindahkan ke agensi lain.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci agensi mana yang akan mengambil alih peranan itu.

Satu tinjauan oleh Universiti Quinnipiac yang dikeluarkan pada Khamis lalu menunjukkan bahawa kira-kira 60 peratus pengundi Amerika menentang rancangan ini, termasuk hampir semua Demokrat (98 peratus) dan 64 peratus golongan bebas.

Dalam kalangan Republikan, kira-kira 20 peratus tidak bersetuju dengan langkah itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan