DALAT, 21 Mac: Setiap lapisan masyarakat di Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai banyak sistem sokongan yang membantu golongan kurang berkemampuan.
Memetik laporan Suara Sarawak, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah melalui Majlis Sejambak Kasih pada setiap perayaan.
“Kita telah mengadakan Majlis Sejambak Kasih selama lebih daripada 25 tahun dan ia dapat membantu penerima.
“Selain Hari Raya Aidilfitri, kita juga melaksanakan Sejambak Kasih sempena Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak, Krismas, dan Deepavali.
“Namun, bagi Sejambak Kasih Deepavali, kita hanya melaksanakannya di Bahagian Kuching sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 Daerah Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menjelaskan tiada kaum yang terpinggir daripada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kepada 150 penerima yang layak.
Pada tahun ini, penerima bukan sahaja menerima hamper dan wang tunai sebanyak RM100 tetapi juga barangan lain bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Antaranya ialah 150 kampit beras daripada Dalat Food Convenience Store, 150 pasang kain daripada Syarikat Jasmin Jawahar Sdn Bhd, serta dua buah katil Homecare Bed daripada Yayasan Cinta Amal.
Turut hadir Residen Bahagian Mukah Datuk Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert, dan wakil Pegawai JKM Mukah, Nurfathira Abdul Rashid.
Terdahulu, Fatimah menyempurnakan Jerayawara Bubur Lambuk Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Dalat Tahun 2025.
Sebanyak 600 bungkus bubur lambuk telah diedarkan dalam program tersebut.-TVS