Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tentera Sudan semakin hampir menguasai Istana Presiden di ibu negara Khartoum pada Khamis, buat pertama kali sejak pertempuran meletus dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 2023. Foto fail AFP

Tentera Sudan hampir kuasai Istana Presiden di Khartoum daripada RSF

ByBernama

KHARTOUM/ISTANBUL, 21 Mac: Tentera Sudan semakin hampir menguasai Istana Presiden di ibu negara Khartoum pada Khamis, buat pertama kali sejak pertempuran meletus dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 2023.

Anadolu Ajansi (AA) yang memetik televisyen negara melaporkan bahawa tentera hampir berjaya mengambil semula kawalan istana daripada RSF. Televisyen itu turut menyiarkan lagu kebangsaan serta video yang memuliakan angkatan tentera.

Pertempuran sengit terus berlaku di pusat bandar Khartoum sejak awal pagi antara pasukan tentera dan anggota RSF, menurut wartawan Anadolu

Saksi melaporkan bunyi letupan serta tembakan kedengaran di beberapa kawasan ibu negara.

Tentera Sudan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pasukannya telah memusnahkan kenderaan tempur milik RSF ketika kumpulan itu berundur dari kawasan sekitar istana.

Aktivis turut berkongsi video di media sosial yang menunjukkan pasukan tentera melancarkan serangan peluru berpandu ketika bertempur dengan RSF di pusat bandar Khartoum.

Bagaimanapun, tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh RSF mengenai laporan itu.

Pada Sabtu, komander RSF Mohamed Hamdan Dagalo atau Hemedti dalam satu rakaman video menegaskan bahawa pasukannya tidak akan meninggalkan Khartoum mahupun melepaskan Istana Presiden yang telah dikuasai mereka sejak konflik bermula.

Sejak beberapa minggu lepas, wilayah yang dikawal RSF semakin berkurangan, membolehkan tentera Sudan menguasai lebih banyak kawasan di beberapa negeri, termasuk Khartoum, Al-Jazira, White Nile, Kordofan Utara, Sennar dan Blue Nile.

Tentera Sudan dan RSF berperang sejak pertengahan April 2023, mengorbankan lebih 20,000 nyawa dan menyebabkan 14 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak berkuasa tempatan. Namun, kajian universiti di Amerika Syarikat menganggarkan angka kematian mencecah 130,000.

Seruan antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan perang semakin meningkat, dengan amaran mengenai malapetaka kemanusiaan yang bakal berlaku apabila jutaan orang berdepan kebuluran dan kematian akibat kekurangan makanan. Konflik itu kini telah merebak ke 13 daripada 18 negeri di Sudan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan