KUCHING, 21 Mac: Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UNIMAS dan UniC mengadakan Program Ramadan Bubur Lambuk baru-baru ini yang bertujuan menyemai semangat kemasyarakatan dalam kalangan warga universiti.
HEPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan program menyentuh hati itu menyatukan orang ramai, mengukuhkan nilai perpaduan, menyemai sifat kemurahan hati dan kebaikan
“Persediaan pelaksanaan program bubur lambuk ini dimulai sejak satu minggu yang lalu dan proses memasak bermula seawal jam 7.30 pagi.
“Program ini melibatkan semua pusat di bawah HEPA, Pusat Khidmat Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar, Pusat Keusahawanan UNIMAS, Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Pusat Industri Universiti,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Al Khalid Othman dan turut disertai Setiausaha Politik Premier Sarawak Abdul Samat Kethergany dan Abang Abdul Aziz Abang Draup serta Pengarah Pusat.
Timbalan Naib Canselor HEPA dalam ucapannya memaklumkan kerjasama dan program secara tahunan ini berupaya meningkatkan semangat tolong-menolong dan keprihatinan dalam kalangan pelajar dan warga UNIMAS.
“Program ini dapat menjadi medium pendekatan kepada pelajar yang berada dalam kampus,” katanya.
Program diakhiri dengan simbolik penyerahan bubur lambuk kepada warga UNIMAS yang dalam perjalanan pulang di hadapan Bangunan HEPA. -TVS