LIMBANG, 21 Mac: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki Orang Kurang Upaya(OKU) yang hilang di hutan di Kampung Gumaya di sini, yang memasuki hari kelima hari ini ditangguhkan buat sementara waktu selepas gagal menemui sebarang petunjuk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limabang, Tawang Lingem berkata, SAR akan diaktifkan semula sekiranya terdapat laporan baharu.
“Kawasan Ops SAR diperluaskan di kawasan Sungai Pandaruan bermula dari hujung Jalan Pandaruan pada pagi tadi dengan kaedah pencarian di permukaan air.
“Pasukan Ops SAR dilakukan menggunakan dua buah bot penyelamat iaitu bot penyelamat bomba dianggotai oleh empat angota bomba, seorang anggota polis manakala bot penyelamat APM dianggotai oleh tiga anggota APM dan dua anggota PGA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pencarian juga dilakukan di Kawasan sepanjang Sungai Pandaruan.
“Pada sebelah petang ini, SAR disambungkan dan tertumpu di sebelah darat berdekatan dengan rumah mangsa.
“Pencarian adalah di dalam radius satu hingga dua kilometer persegi di kawasan hutan dan di belakang rumah mangsa. Teknik Pencarian dilakukan ialah Swept Searching dan One Line Parallel,” ujarnya.
Pihak bomba menerima panggilan kehilangan mangsa Juni Dullah,52, di hutan pada jam 1.10 tengah hari lalu 17 Mac lalu.
Ketika keluar dari rumah mangsa yang merupakan OKU, berpenyakit darah tinggi menggunakan pakaian biru kehitaman dan berseluar pendek gelap.-TVS