KOTA SAMARAHAN, 21 Mac: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusuf menegaskan perjuangan hak minyak dan gas dibawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah jelas dan konsisten sejak dahulu.
Katanya, DAP tidak perlu menubuhkan jawatankuasa untuk menyokong usaha GPS menuntut hak Sarawak sebaliknya memberi sokongan di Parlimen.
“Saya pun tidak faham apa tujuan menubuhkan jawatan dwipartisan dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sama ada lebih kepada politik atau ada keikhlasan untuk perjuangannya.
“Perjuangan sekarang di bawah GPS adalah jelas, kita dari dulu konsisten tapi DAP saya tidak pasti lah, mereka lebih banyak mengkritik GPS walhal perjuangan itu di bawah GPS. Tidak perlu ada jawatankuasa, sokong di Parlimen, beri suara yang kuat di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Peringkat Negeri Sarawak di Kampung Empila di sini, hari ini.
Jelas Fadillah, cadangan tersebut juga seolah-olah tidak yakin dengan jawatankuasa sedia ada iaitu Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63) dan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, jawatankuasa yang ditubuh Perdana Menteri sebenarnya sudah mencukupi dan setakat ini sembilan tuntutan telah berjaya diselesaikan.
Sebelum ini, DAP Sarawak mengusulkan penubuhan jawatankuasa dwipartisan tersebut untuk memperjuangkan hak minyak dan gas negeri.
Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sarawak mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Dwipartisan Minyak dan Gas yang dianggotai oleh DAP dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi merangka strategi bersama dalam memperjuangkan hak negeri.
Cadangan tersebut dikemukakan menerusi satu memorandum yang dihantar ke Pejabat Premier Sarawak hari ini, yang menggariskan cabaran serta rancangan kerjasama politik antara DAP dan PBB bagi memperkukuh kuasa negeri dalam menguruskan sumber minyak dan gas sendiri.-TVS