KUCHING, 20 Mac: OCI TerraSus Sdn Bhd akan membekalkan polisilikon gred solar berketulenan tinggi bagi menyokong pengembangan rantaian nilai solar OCI Holdings di Amerika Syarikat (AS).
Pengumuman tersebut dibuat susulan pelaburan RM1.17 bilion (US$265 juta) oleh OCI Holdings untuk membina sebuah kilang pengeluaran sel solar baharu di AS melalui anak syarikatnya, Mission Solar Energy (MSE).
Kilang baharu itu akan menerima bekalan polisilikon yang dihasilkan menggunakan tenaga hidro boleh diperbaharui dari Sarawak, menandakan peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan tenaga bersih global.
Pengerusi OCI Holdings, Lee WooHyun dalam kenyataan menyatakan penubuhan anak syarikat sel solar baharu itu akan memperkukuh kedudukan OCI Holdings di pasaran AS serta meningkatkan daya saing global OCI TerraSus.
“Polisilikon gred solar berketulenan tinggi dari Malaysia akan menjadi asas kepada rantaian bekalan solar bersih ini, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga lestari di AS serta mengukuhkan lagi peranan OCI TerraSus sebagai peneraju dalam industri solar.
“Pengeluaran komersial sel solar dijangka bermula pada separuh pertama tahun 2026 dengan pengembangan lanjut pada separuh kedua tahun yang sama.
“Dengan menghubungkan polisilicon OCI TerraSus kepada kilang baharu ini, OCI Holdings berusaha membentuk rantaian bekalan solar yang bebas daripada China dan lebih kompetitif di peringkat global,” katanya.
Sehubungan itu, OCI TerraSus menyatakan komitmennya terhadap inovasi dalam pengeluaran polisilikon sejajar dengan permintaan tenaga solar yang terus meningkat.
Syarikat tersebut menurutnya akan terus melabur dalam teknologi canggih bagi memastikan kualiti dan kecekapan yang tinggi selain memperkukuh peranannya dalam peralihan global kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
Dengan kelebihan strategik yang dimiliki Malaysia, termasuk sokongan kerajaan, tenaga kerja mahir, infrastruktur kukuh, dan sumber tenaga lestari, OCI TerraSus yakin dapat mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam sektor tenaga hijau global. – TVS