KUCHING, 21 Mac: Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) masih mengendalikan operasi di Pelabuhan Bintulu sehingga Disember 2025.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani berkata, Bintulu Port memeterai perjanjian interim (IA) ketiga dengan Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) bagi lanjutan operasi selama 12 bulan di Pelabuhan Bintulu.
“Untuk tempoh sekarang kami (Bintulu Port) masih menjalankan operasi seperti biasa sehingga Disember 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan zakat perniagaan BPHB berjumlah RM3.6 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) hari ini.
Simbolik penyerahan zakat disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya, di Wisma Bapa.
Jelasnya, perbincangan melibatkan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenai pengendalian penuh operasi masih berjalan dan dijangka dapat diselesaikan dalam tahun ini.
Mengenai jumlah kargo yang diproses Bintulu Port pada tahun lepas, Ruslan menjelaskan BPHB berjaya mencapai 52 juta tan dan menjadi jumlah tertinggi yang pernah direkodkan setakat ini.
“Selain itu, Bintulu Port turut berjaya menguruskan lebih 8,000 kapal tahun lepas dan kita bertekad untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan-pelanggan kami,” ujarnya. – TVS