Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pesawat Baharu dengan Syarikat Boeing di sebuah hotel di sini, hari ini. Foto Amirruddin Shah (TVS)

MAG terima 30 pesawat Boeing-737 pada 2030 – PM

ByHafeezzur Muzamir

PUTRAJAYA, 21 Mac: Malaysia Aviation Group (MAG) telah membuat tempahan untuk 30 pesawat Boeing 737 dengan kesemua pesawat itu akan diterima menjelang 2030.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pencapaian itu bukan sekadar memodenkan MAG tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama industri penerbangan di peringkat global dan mengukuhkan asas ekonomi negara dalam dunia yang semakin kompetitif.

Anwar menjelaskan, pelaburan itu menandakan komitmen MAG untuk terus maju dan memastikan masa depan yang cerah kepada pengangkutan udara untuk rakyat di negara ini.

“Pesawat ini akan tambah baik pengalaman perjalanan dengan gabungan teknologi moden dan kecekapan lebih baik.

“Di samping mewujudkan pekerjaan, memacu pelancongan, dan mengukuhkan industri yang berkembang maju dalam sektor penerbangan yang teguh,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pesawat Baharu dengan Syarikat Boeing di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, MAG mempunyai pilihan untuk mendapatkan tambahan 30 pesawat daripada Boeing.

Dalam pada itu, Anwar berkata, menerusi Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026), kerajaan bertekad untuk memupuk nilai tinggi, ekonomi mampan, menyokong inovasi dan menarik pelaburan bagi meningkatkan kedudukan negara di peringkat global.

“Sama pentingnya, kerajaan mahu memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai syarikat penerbangan nasional yang boleh mereka banggakan.

“Saya gembira melihat Malaysia Airlines meneruskan hubungan yang terjalin lamanya dengan Boeing, yang telah menjangkau lebih 57 tahun sejak penggunaan pesawat Boeing 707 pada tahun 1968.

“Saya percaya bahawa Boeing dan GE Aerospace akan mengiktiraf perkongsian ini sebagai peluang berharga untuk mengukuhkan kehadiran mereka di Malaysia, menyumbang kepada pertumbuhan dan teknologi negara kita,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan