KUCHING, 21 Mac: Majlis Iftar Kasih Ramadan dilihat sebagai platform terbaik menyantuni kumpulan sasar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, KPWKM masih aktif menjalankan aktiviti dan program yang telah dijadualkan walaupun pada bulan ramadan.
Menurutnya, ia mengajar mereka lebih tentang kesabaran dan keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Nampaknya, walaupun dalam keadaan berpuasa, warga kementerian kami tetap meriah dengan pelbagai aktiviti dan program untuk sama mengimarahkan ibadah pada bulan mulia ini.
“Berpuasa bukan alasan untuk kita menjadi lemah, sebaliknya ia mengajar kita tentang kesabaran, ketahanan dan keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Iftar Kasih Ramadan di Hotel UCSI di Kuching pada Jumaat.
Penganjuran Majlis Iftar Kasih Ramadan tersebut adalah anjuran bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan mendapat sokongan daripada rakan strategik Shapadu dan Alliance Islamic Bank.
Semasa majlis berlangsung, Nancy berkesempatan menyantuni dan memberikan sumbangan duit raya kepada 270 kumpulan sasar termasuk kanak-kanak, remaja, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU). -TVS