Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bergambar berlatarbelakang Jalan Persekutuan FT51 Seremban- Kuala Pilah yang telah siap dinaiktaraf dari Jalan Tunggal 2 lorong 2 hala kepada jalan berkembar 4 lorong 2 hala selepas Majlis Pembukaan Rasmi Lorong Tambahan hari ini. Foto Bernama

Kerja selenggara jalan babitkan penutupan lorong dihentikan sempena Aidilfitri – Nanta

ByBernama

SEREMBAN, 21 Mac: Semua kerja penyelenggaraan jalan membabitkan penutupan lorong di lebuh raya akan dihentikan sementara bermula pada 24 Mac hingga 7 April ini bersempena dengan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu selaras dengan tarikh penguatkuasaan operasi semua agensi, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Larangan penutupan lorong ini dikecualikan bagi kerja kecemasan sahaja. Ia arahan kebiasaan dikeluarkan oleh kementerian, iaitu tiada kerja pembinaan dan penyelenggaraan dilakukan kerana akan mengganggu dan menyebabkan kesesakan.

“Semua maklum ramai pulang ke kampung halaman pada musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan lorong tambahan jalan Seremban–Kuala Pilah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nanta berkata JKR menerima lebih 28,000 aduan mengenai jalan rosak menerusi aplikasi MYJalan sejak ia dilancarkan pada 2023.

Beliau berkata daripada jumlah itu, hanya 30 peratus berkaitan dengan jalan rosak di bawah seliaan JKR dan selebihnya melibatkan jalan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

“Menerusi dasar no wrong door policy, aplikasi MyJalan dapat mengenal pasti aduan yang berkaitan dengan seliaan JKR. Kita juga menyampaikan maklumat ini kepada PBT dan kerajaan negeri supaya mereka bertindak dengan segera.

“Pihak kami, konsesi dan JKR akan turun padang sejurus menerima aduan jalan rosak dalam masa 24 jam, hal itu telah dicapai, saya memohon PBT dan kerajaan negeri juga mengambil langkah yang sama, sebab jalan ini banyak kategori, JKR hanya memberi tumpuan kepada jalan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Nanta dalam ucapannya menyarankan semua pengguna jalan raya memuat turun aplikasi MYJalan dan membuat aduan berkenaan jalan raya, seperti jalan berlubang, jalan rosak, serta lampu jalan dan lampu trafik yang tidak berfungsi.

Beliau berkata kerjasama pengguna dalam menjaga jalan dapat menjamin ketahanan dan kebolehgunaan jalan raya, di samping meningkatkan keselesaan dan keselamatan pemandu dan penumpang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan