MIRI, 21 Mac: Kempen keselamatan jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri dilancarkan di Bandaraya ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya tentang kepentingan pemanduan berhemah dan berdisiplin.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kempen ini bertujuan untuk mengingatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dalam pemanduan mereka bagi mengelakkan kemalangan.
“Kami ingin memastikan bahawa semua pengguna jalan raya, terutamanya mereka yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya, dapat melakukan perjalanan dengan selamat.
“Musim perayaan sepatutnya menjadi masa untuk bersama keluarga dan bukannya duka akibat kemalangan,” katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2025 di Stesen Minyak Shell, Jalan Miri Bypass, hari ini.
Berdasarkan statistik yang diterima daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, faktor manusia merupakan penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya.
“Statistik terbaru menunjukkan kelalaian dan kecuaian pemandu ialah 95 peratus, perlanggaran dari belakang ialah 31.8 peratus, memandu laju dan terbabas ialah 23.3 peratus, perlanggaran di simpang ialah 21.6 peratus, perlanggaran hadapan ialah 4.2 peratus dan faktor lain ialah 8.3 peratus,” katanya lagi.
Kim Shin turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif ini dan menegaskan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya, bukan hanya pihak berkuasa seperti polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – TVS