MIRI, 21 Mac: Sebanyak 3,237 kes kemalangan direkodkan di Sarawak dalam tempoh Januari hingga Februari 2025, dengan 61 kematian, 20 kecederaan parah, dan 52 kecederaan ringan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata bagi daerah Miri, sebanyak 526 kes kemalangan telah direkodkan, menunjukkan penurunan sebanyak 12.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024 yang mencatatkan 601 kes.
“Kemalangan maut di Miri juga menunjukkan penurunan kepada 6 kes berbanding 12 kes pada tahun sebelumnya.
“Daerah Marudi turut mencatatkan penurunan ketara dengan hanya 14 kes kemalangan direkodkan, berbanding 27 kes pada tahun 2024, mewakili penurunan sebanyak 48.1 peratus,” katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2025 di Stesen Minyak Shell, Jalan Miri Bypass, hari ini.
Kim Shin berharap dengan adanya kempen sebegini, kesedaran pengguna jalan raya akan meningkat dan jumlah kemalangan dapat dikurangkan ke paras yang paling rendah.
“Kempen keselamatan jalan raya ini juga disarankan untuk dianjurkan sempena perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Gawai, Krismas, dan Deepavali bagi memastikan impaknya lebih meluas,” katanya lagi. – TVS