MUKAH, 21 Mac: Program Juh Berambih Sungkai Mukah akan diteruskan pada Ramadan akan datang bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Memetik laporan Suara Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kali ini merupakan edisi kelapan program tersebut sejak pelaksanaannya pada tahun 2017.
“Kita akan meneruskan program yang mengumpulkan semua masyarakat di Mukah terutamanya semasa musim perayaan bagi memastikan perpaduan sentiasa terjaga.
“Bukan itu sahaja, dengan adanya program seperti ini, ia dapat menyemarakkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat serta mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Juh Berambih Sungkai di Dataran Pehin Setia Raja, di sini, petang semalam.
Mengulas lanjut, Royston memberitahu program tersebut juga dapat merapatkan lagi hubungan antara masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tambahnya, kerjasama semua pihak amat penting dalam pelaksanaan mana-mana program, dan diharapkan ia berterusan.
Sehubungan itu, beliau turut berharap hubungan baik terutamanya kerjasama antara semua pihak sentiasa berkekalan bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa penerima termasuk kelab dan persatuan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian.
Antara penerima ialah Kelab Rekreasi Komuniti Setia Raja, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Sumut, Perguruan Pencak Silat Pusaka Mengalai, dan Tabika Kemas Kampung Penakub Permai.
Selain itu, penerima lain termasuk JKKK Kampung Pegei, Persatuan Melanau Mukah, Motion Athletics Club, serta Jawatankuasa Kebajikan Kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah.
Hadir sama Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhammad Rizal Alias.-TVS