KUCHING, 21 Mac: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menganjurkan program Kempen Keselamatan Jalan Raya sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.
Pengarahnya, Norizan Jili berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan advokasi tentang kesedaran keselamatan jalan raya terutama ketika menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya yang akan datang, kita akan mengadakan Operasi Hari Raya, bermula 24 Mac sehingga 8 April di mana, sepanjang kempen tersebut, anggota kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk sentiasa memantau perjalanan sepanjang musim perayaan,” katanya.
“Saya juga ingin mengingatkan akan terdapat sekatan perjalanan ‘road ban’ di waktu-waktu tertentu yang melibatkan pihak kenderaan perdagangan terutamanya, di mana kenderaan ini tidak dibenarkan berada di jalan raya, dua hari sebelum serta dua hari selepas musim perayaan. Syarat-syaratnya telahpun kita kongsikan di laman media sosial kita,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai Program Keselamatan Jalan Raya dan Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Sarawak 2025 di Kuching pada Jumaat.
Norizan turut mengagihkan 800 bungkus bubur lambuk di kawasan kejiranan Tabuan Tranquility sebagai salah satu daripada pengisian aktiviti mengimarahkan bulan Ramadan oleh JPJ Sarawak bersama warga.
Program anjuran JPJ Sarawak ini turut dijayakan bersama rakan strategik yang melibatkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Cawangan Kota Sentosa dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Tabuan Tranquility.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak, Giri Nyareng, Ketua Wilayah Sarawak Bank Rakyat, Abdul Azis Rosli, Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kota Sentosa, Zambery Bujang dan Setiausaha KRT Tabuan Tranquility, Ruhaiyah Mahmood. -TVS