KUCHING, 21 Mac: Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, para pengguna jalan raya di kawasan Tanjung Manis, Pulau Bruit, Sarikei, Daro dan Matu boleh menarik nafas lega apabila perjalanan mereka menjadi lebih singkat.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris berkata Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi-Sibu/ Tanjung Manis akan dibuka kepada orang awam selepas Majlis Pra Pelancaran yang dijadualkan pada 28 Mac ini.
“Bagaimanapun, kerja-kerja kecil di jambatan tersebut masih giat dijalankan.
“Oleh itu, para pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa melalui jambatan berkenaan dan mematuhi segala arahan lalu lintas yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama,” katanya dalam kenyataan kepada TVS, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mewakili seluruh warga JKR Sarawak ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua dan selamat sampai ke destinasi.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dilaporkan berkata dengan pembukaan jambatan itu, pengguna dapat menjimatkan masa dan jarak perjalanan.
Mereka boleh meneruskan perjalanan dari Sarikei terus ke Tanjung Manis yang dijangka memakan masa hanya kira-kira 45 minit, berbanding dua hingga tiga jam perjalanan jika melalui Sibu seperti sekarang termasuk untuk ke Daro.