KUCHING, 21 Mac: Hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 akan menanti pemenang MATTA Malaysia Pickleball Grand Slam 2025 (MPG2025) yang dijadualkan berlangsung di PIKABOL Malaysia’s Pickleball Powerhouse dari 7 hingga 20 Oktober ini.
Menurut laporan UKAS, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah keseluruhan hadiah wang tunai tersebut yang merupakan hadiah tunai terbesar di rantau ini dijangka menarik penyertaan pemain-pemain bertaraf tinggi dan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi sukan ini.
“Bagi pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), saya ingin menyatakan sokongan penuh kami terhadap penganjuran acara ini. Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan semua pemain, pegawai dan peminat sukan ke Sarawak untuk menyaksikan kejohanan yang dijangka begitu menarik dan penuh kenangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri MTCP Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dalam sidang media MPG2025 di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, pada Jumaat.
Ujarnya, lebih daripada 1,350 peserta dari dalam dan luar negara dengan jumlah pengunjung yang dijangka melebihi 2,600 orang akan memeriahkan kejohanan itu dan akan memberi impak ekonomi yang besar kepada negeri ini.
Ujarnya, ini akan merangsang sektor pelancongan, hospitaliti, makanan, pengangkutan, dan pusat membeli-belah dan ia akan meletakkan Sarawak di peta sebagai pusat pilihan bagi acara sukan antarabangsa.
Kejohanan ini akan menampilkan pelbagai kategori , termasuk acara berpasukan dan acara individu bagi beregu lelaki, wanita, dan campuran, merangkumi pelbagai peringkat kemahiran dan kumpulan umur.
Pada sidang media tersebut, turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MATTA dan Persatuan Pickleball Malaysia bagi memperkukuh asas kerjasama jangka panjang dalam usaha membangunkan sukan pickleball serta mempertingkatkan kesannya terhadap pelancongan di Sarawak dan Malaysia.
Turut hadir, Presiden Malaysian Association Of Tour And Travel Agents (MATTA) Nigel Wong, Pemangku Setiausaha Tetap MYSED Desmond Douglas Jerukan, Pengerusi MATTA Sarawak Oscar Choo dan dif kehormat lain.