Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto fail Bernama

BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam, RM250 untuk pesara dibayar minggu depan – PM Anwar

ByBernama

SEPANG, 21 Mac: Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata BKK Aidilfitri sebanyak RM250 pula akan dibayar kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Kerajaan menimbang secara serius walaupun pada hemat saya (isu bonus penjawat awam) sudah diselesaikan pada bulan Februari tetapi kerana mengenangkan pentadbiran itu lebih baik, khidmat mereka lebih baik dan kesungguhan yang ada.

“Maka saya putuskan, Insya-Allah dalam minggu depan, kita akan salurkan kepada Gred 56 ke bawah RM500 bagi setiap penjawat awam dan untuk pesara RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Gred Sistem Saraan Malaysia (SSM) 55 dan 56 ditukarkan Gred SSPA 15.

Anwar berkata pembayaran BKK Aidilfitri kepada 1.6 juta penjawat awam dan pesara itu membabitkan peruntukan mencecah RM900 juta.

“Alhamdulillah, oleh kerana kita catat pertumbuhan ekonomi lebih baik, hasil negara lebih baik dan sumbangan penjawat awam lebih teratur, lebih disiplin, ketirisan masih ada tetapi banyak (dapat) dikawal,” kata beliau.

Justeru, Anwar berharap penjawat awam di negara ini dapat memahami mengapa kerajaan sentiasa bersikap tegas dalam isu tatakelola bagi mengelak ketirisan dan rasuah dalam sektor perkhidmatan awam.

“Sebab itu penting apabila kita (kerajaan) dapat hasil, kita pulangkan balik kepada rakyat,” kata Perdana Menteri. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan