KUCHING, 21 Mac: Beberapa kawasan di Sarawak, termasuk Song, Kanowit, Kapit dan Sibu dinaiki air ekoran hujan lebat dan berterusan sejak semalam.
Gambar-gambar yang dikongsikan di Facebook menunjukkan paras air meningkat di beberapa kawasan, termasuk pekarangan Balai Polis Kapit dan Dewan Masyarakat Melayu Kapit.

Turut dinaiki air, Jalan Khoo Peng Loong dan Kampung Datu di Sibu.
Namun, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kapit mengesahkan bahawa situasi banjir di kawasan-kawasan tersebut masih terkawal.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook APM Kapit tengah hari ini, pihak berkuasa sedang memantau keadaan dengan rapi.
Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memantau situasi banjir dan mengambil langkah sewajarnya, khususnya di Lebuh Raya Pan Borneo.
Beliau berkata bencana itu menjejaskan laluan Jambatan Durin, kira-kira 35 kilometer dari sini, apabila hujan berterusan telah mengakibatkan paras air Batang Rajang meningkat dan melimpah sekali gus menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak melaporkan, sehingga pukul 8 pagi hari ini, sejumlah 274 penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Di PPS Balai Raya Song, seramai 198 orang dari 60 keluarga ditempatkan, manakala PPS Asrama Belia Kapit menempatkan 31 mangsa dari enam keluarga.
Selain itu, PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit menempatkan 38 mangsa dari 11 keluarga, dan PPS Dewan Komuniti Sibujaya menempatkan tujuh mangsa dari satu keluarga.
Semua mangsa yang dipindahkan diberikan perlindungan dan keperluan asas di pusat pemindahan sementara tersebut.