KUCHING, 21 Mac: Bandar Bintulu dinobat sebagai antara 20 Bandar Paling Bahagia Tahun 2025 menerusiĀ Indeks Kebahagiaan Malaysia bagi Kategori Majlis Bandaraya/ Perbandaran.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan lapan daerah dianugerahkan Bandar Paling Bahagia (Kategori Majlis Daerah) manakala 12 bandar bagi Kategori Majlis Bandaraya/ Perbandaran pada Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Selain Bintulu, turut disenarai adalah Bandar Temerloh, Pahang; Bandaraya Diraja Klang, Selangor; Bandar Port Dickson, Negeri Sembilan; Bandar Jasin, Melaka; Bandar Pontian, Johor; Bandar Ampang Jaya, Selangor; Bandar Batu Pahat, Johor; Bandaraya Melaka Bersejarah, Melaka; Bandaraya Petaling Jaya, Selangor; Bandaraya Johor Bahru, Johor dan Bandar Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Bagi Kategori Majlis Daerah, KPKT menyenaraikan Bandar Lipis, Pahang; Cameron Highlands, Pahang; Bandar Kuala Krai, Kelantan; Bandar Baharu, Kedah; Bandar Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Bandar Jerantut, Pahang; Bandar Jelebu, Negeri Sembilan dan Bandar Telupid, Sabah.
Menurut kenyataan itu lagi, 153 Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan), Sabah serta Sarawak terlibat dalam Kajian Indeks Kebahagiaan iaitu 115 bandar (75 peratus) mencapai status bahagia manakala 38 lagi (25 peratus) mencapai status sederhana bahagia.
Kriteria indeks itu selaras dengan pengukuran kebahagiaan di peringkat dunia yang memfokus kepada tahap tekanan hidup, kesihatan, hubungan kekeluargaan serta kepuasan terhadap kemudahan dan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh pemimpin setempat.