KUCHING, 21 Mac: Selepas berjaya meletakkan Kuching City FC berada pada kedudukan empat teratas dalam saingan Liga Super musim ini, Aidil Sharin Sahak kini mendapat perhatian beberapa kelab lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan berkata, kejayaan dicapai pasukan di bawah bimbingan Aidil menjadikan jurulatih berpengalaman itu sebagai individu dikehendaki pasukan lain.
“Kami tidak menafikan ada kelab lain yang berminat mendapatkan khidmat ketua jurulatih Aidil ketika ini.
“Namun untuk makluman semua, jurulatih Aidil masih lagi terikat kontrak dengan Kuching City FC,” katanya ketika dihubungi TVS.
Iswandi berkata, mengikut perbincangan terbaharu antara pihak pengurusan kelab dan Aidil, jurulatih kelahiran Singapura itu masih ersama pasukan bagi meneruskan misi mereka dalam saingan liga.
“Insya-Allah, berdasarkan kontrak dan perbincangan yang telah kami lakukan baru-baru ini, jurulatih Aidil akan terus kekal bersama Kuching City FC,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun ada pihak luar yang berminat mendapatkan khidmatnya, pengurusan kelab komited untuk mengekalkan beliau bagi memastikan kestabilan pasukan dalam menghadapi cabaran musim ini.
Aidil Sharin dilantik sebagai ketua jurulatih Kuching City FC pada Ogos 2023 bagi menggantikan Irfan Bakti Abu Salim.-TVS