KUALA LUMPUR, 20 Mac: Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) diseru untuk memberi penekanan terhadap aspek integriti, penjimatan kos, keberkesanan serta kualiti kerja.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, setiap projek infrastruktur yang melibatkan pembinaan jalan raya dan menaik taraf jambatan mesti dilaksanakan dengan sempurna.
“Semua projek infra ini merupakan nadi kehidupan rakyat. Ia bukan sekadar memenuhi angka atau kriteria di atas kertas semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya di kementerian itu di sini, hari ini.
Nanta menjelaskan, kempat-empat aspek itu merupakan inti pati yang ditekankan oleh Anwar di dalam pertemuan tersebut.
“Kesemua perkara yang difokuskan ini penting bagi mendorong kepada kualiti perkhidmatan terbaik dan berkesan dapat diberikan kepada rakyat,” jelasnya.
Tambahnya, tanggungjawab yang digalas KKR sebagai kementerian yang menerajui industri teknikal negara tidak mudah dan penuh dengan cabaran.
“Warga KKR akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan Malaysia kembali bangkit dan maju ke hadapan terutamanya di dalam bidang yang melibatkan peranan kementerian ini,” katanya.
Selain itu, beliau menyeru setiap warga KKR meninggalkan budaya cara kerja lapuk dan menerima sentuhan transformasi dan anjakan paradigma demi memastikan projek yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan dan nilai terbaik kepada rakyat. – TVS