KUALA LUMPUR, 20 Mac: Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) Madani berjaya meraih sumbangan sebanyak RM51.6 juta daripada 1,845 penyumbang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata agihan keuntungan daripada pengembangan wakaf itu akan bermula seawal Julai 2025.
Jelas beliau, sumbangan wakaf tunai itu perlu dikembang secara strategik bagi memastikan manfaatnya berterusan dan berimpak tinggi.
“Dalam fasa awal pelaksanaan Wakaf MARA Madani, manfaat wakaf akan disalurkan ke pelbagai sektor utama termasuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan serta pembangunan asset wakaf,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, antara inisiatif utama wakaf itu adalah bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi, khususnya bagi sesi kemasukan Julai 2025.
Sementara itu, beliau berkata kejayaan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap inisiatif tersebut sebagai pemacu perubahan ekonomi Bumiputera yang mampan.
“Setiap ringgit yang diwakafkan bukan sekadar membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga menjadi pelaburan jangka panjang dalam memperkasa ekonomi Bumiputera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pelbagai pihak termasuk sektor korporat, badan bukan kerajaan dan seluruh masyarakat untuk bersama menyumbang kea rah kebaikan itu. – TVS