KUCHING, 20 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Astana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pertemuan kedua-dua pemimpin itu diadakan bersempena sesi pra-Kabinet menjelang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak.
“Dalam sesi tersebut, Abang Johari membentangkan beberapa perkara utama berkaitan pentadbiran negeri untuk makluman dan pertimbangan Tun Wan Junaidi selaras dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Sarawak.
“Tun Wan Junaidi turut menyampaikan pandangan serta nasihat berhubung isu-isu penting dalam usaha memperkukuh dasar dan hala tuju pembangunan negeri,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, perbincangan berlangsung dalam suasana mesra dan penuh muafakat, mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan kemajuan serta kesejahteraan rakyat Sarawak terus diperkukuh.
Sehubungan itu, Tun Wan Junaidi yakin bahawa di bawah kepimpinan Abang Johari, wilayah ini akan terus berkembang pesat melalui dasar yang mampan dan inklusif demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat pada masa hadapan. — TVS