LAWAS, 20 Mac: Sebuah hotel di Lawas mengalami kerugian RM2,000 selepas dipecah masuk seorang lelaki bersenjata dipercayai parang dalam kejadian yang berlaku tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, kes kecurian yang turut tular di laman sosial itu dipercayai berlaku jam 12 tengah malam.
Menurutnya, laporan kes kecurian itu diterima pihaknya tengah malam daripada pengadu yang juga kakitangan hotel berkenaan.
“Ketika kejadian penjaga kaunter menyatakan ada orang masuk ke kaunter dan mengambil wang yang ada di kaunter semasa penjaga tersebut pergi memeriksa aduan kerosakan penghawa dingin di salah satu bilik hotel berkenaan,” katanya.
Liong berkata, siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seseorang dengan wajah terlindung yang memakai baju jenis hoodie yang memasuki kaunter dan menyelongkar serta mengambil wang tunai di dalam kaunter berkenaan.
“Rakaman CCTV mendapati suspek membawa sesuatu dipercayai senjata tajam semasa masuk ke kaunter,” ujarnya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi kerana semasa kejadian tiada orang termasuk pekerja di kaunter berkenaan.
Tambahnya, polis sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Lawas di talian 085-283037.
“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kegusaran awam. Keadaan semasa di daerah Lawas kekal selamat dan terkawal,” jelasnya. – TVS.