KUCHING, 20 Mac: Peruntukan RM2 juta akan disalurkan untuk membaik pulih kawasan kuarters jururawat lama Hospital Umum Sarawak di Jalan Crookshank sekali gus mengekalkannya sebagai salah satu tapak warisan bersejarah di Kuching.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel berkata, langkah tersebut diambil susulan perbincangan serta persetujuan daripada Kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan kemelut yang terkait dengan tapak itu tahun lalu.
“Untuk kerja-kerja baik pulih serta naik taraf bangunan tersebut, kita akan menyuntik dana dalam anggaran RM2 juta sebagai langkah permulaan, mungkin dana itu akan ditambah tetapi kita akan memperhalusinya lagi. Kami juga berharap Persatuan Warisan Sarawak dapat membantu dalam memastikan bangunan itu kelak berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai lawatan tinjauan ke Kuarters Jururawat Lama di Kuching pada Khamis.
Menurutnya, langkah yang diambil itu akan mewujudkan situasi menang-menang antara Persatuan Warisan Sarawak (SHS) yang mahukan kuarters lama jururawat dikekalkan sebagai tapak warisan sejarah selain pihak yang dilantik untuk meneruskan kerja-kerja pembersihan serta pembinaan kolam penampungan air (Kolam SUSToM).
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Abdullah berkata, selain dijadikan tapak warisan sejarah, kuarters itu turut dijadikan sebagai pusat singgah Anjung Kasih yang akan memberi manfaat kepada ahli keluarga pesakit yang perlukan tempat penginapan semasa keberadaan mereka di Hospital Umum Sarawak.
Untuk rekod, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak mengeluarkan Arahan Berhenti Kerja sekitar Ogos 2024 di tapak itu susulan rayuan Persatuan Warisan Sarawak (SHS) untuk mengekalkan kuarters lama itu sebagai salah satu tapak warisan sejarah di Kuching.
Hadir sama Timbalan Pengarah JPS Sarawak, Law Wee dan Presiden SHS, Datin Rosemarie Wong-Jabu.-TVS