KUALA LUMPUR, 20 Mac: Program Budi Seni anjuran MyCreative Venture diadakan buat julung kalinya bagi menghargai sumbangan artis veteran wanita dalam industri seni tanah air.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, program itu yang dilaksanakan sempena Hari Wanita Antarabangsa dan Ramadan itu menghargai empat artis veteran wanita.
Katanya, mereka yang terpilih menerima sumbangan wang tunai RM2,000 serta baucar bernilai RM1,500 untuk berbelanja dalam program Riuh Raya Kita.
“Program ini menyasarkan bantuan kepada artis veteran yang memerlukan dan kali pertama kita memilih tokoh wanita industri lakonan dan nyanyian sebagai penerima utama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan Budi Seni kepada penerima dalam program Riuh Raya Kita yang berlangsung di pekarangan Raintree Plaza, TRX Kuala Lumpur, pada Rabu.
Antara yang menerima sumbangan termasuk penyanyi Shima dan Zaiton Sameon serta dua pelakon, Margaret Gan dan Maimunah Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Jah.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching memaklumkan Program Riuh Raya Kita yang diadakan selama lima hari bermula 19 Mac hingga 23 Mac ini dijangka menarik seramai 60,000 pengunjung serta menyasarkan hasil jualan mencecah RM1.3 juta.
Katanya, program itu melibatkan 75 peniaga yang menjual pakaian, aksesori serta kelengkapan raya, selain 20 vendor makanan dan minuman.
“Kami berharap Riuh Raya Kita dapat memberi peluang kepada vendor-vendor tempatan untuk menjual produk mereka.
“Selain itu, Kembara Riuh akan diteruskan ke tujuh lokasi lain sepanjang tahun ini, termasuk Johor, Putrajaya, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Pantai Timur,” tambahnya.
MyCreative Venture turut merancang program Riuh Hangout pada April, Pesta Itu Ini di Pantai Timur pada Mei, Riuh Merdeka di Putrajaya pada Ogos, serta Riuh ASEAN Kuala Lumpur pada Oktober. – TVS.