KUCHING, 20 Mac: Syarikat OCI TerraSus Sdn Bhd merupakan salah satu pelabur utama di Taman Perindustrian Samalaju dan mampu menyumbang kepada pembentukan masa depan lebih hijau serta progresif di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni berkata, pengembangan pelaburan OCI TerraSus yang bernilai RM799.8 juta di Samalaju menyumbang kepada RM16.1 bilion pelaburan Sarawak yang diluluskan untuk 2024 sekali gus meletakkan Sarawak pada kedudukan keenam tertinggi di Malaysia.
“Pencapaian ini telah diumumkan dalam Sidang Media Tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2025.
“Justeru, OCI TerraSus Sdn Bhd bertekad untuk meneruskan komitmen mereka menjadi peneraju global yang lestari, dinamik serta inovatif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi OCI TerraSus Sdn Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Dr. Anas Alam Faizli pada Rabu.
Jelasnya, OCI TerraSus Sdn Bhd melaksanakan proses penjenamaan semula strategik yang sebelum ini dikenali sebagai OCI M Sdn Bhd.
“Transformasi ini selari dengan visi syarikat pelabur itu dalam memacu peralihan tenaga global, pembangunan teknologi mampan serta memberi impak jangka panjang kepada alam sekitar dan masyarakat,” ujarnya. -TVS