KUALA LUMPUR, 20 Mac: Malaysia berpotensi untuk menerajui industri teknologi blok rantai dan memanfaatkannya dalam pelbagai sektor, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ke arah itu jelas Perdana Menteri, pembangunan bakat tempatan dalam sektor itu perlu diutamakan bagi memastikan rakyat memperoleh manfaat daripada industri tersebut.
Jelasnya, perkara itu disuarakan kepada syarikat pengoperasi kewangan dan asset ekosistem digital dan blok rantai, Klickl pada kunjungan hormat syarikat itu, hari ini.
“Kami membincangkan berkenaan perkembangan terkini teknologi ini di peringkat antarabangsa termasuk berkenaan dengan kerangka model dan peraturan yang boleh dijadikan contoh oleh Malaysia dalam menambah baik kerangka kita yang tersendiri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Tambahnya, sektor yang turut berpeluang untuk memperoleh manfaat daripada pembangunan industri teknologi blok rantai di Malaysia ialah perkhidmatan kerajaan dan industri halal.
“Ia tidak terhad dalam sektor kewangan dan aset digital sahaja,” katanya. – TVS