MIRI, 20 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Miri menetapkan 22 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 (SHMMP) yang berkuat kuasa bermula 24 Mac hingga 7 April 2025.
Antara barangan yang dikawal harga termasuk daging lembu import, ikan kembung, ikan selayang, bawang merah besar import, cili merah, kelapa dan santan.
Semua peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal.
“Peniaga di Miri dan Marudi tidak dibenarkan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan sepanjang tempoh 15 hari SHMMP ini,” menurut kenyataan KPDN Miri.
Pelaksanaan skim tersebut bertujuan memastikan harga barangan keperluan harian terkawal sepanjang musim perayaan sekali gus mengelak peniaga daripada mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
Dalam usaha memperketat penguatkuasaan, KPDN Miri akan meningkatkan pemeriksaan dengan menggerakkan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga ke pasar basah, pasar raya serta kedai runcit di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap harga yang ditetapkan.
Bagi mana-mana peniaga yang melanggar peraturan, tindakan tegas akan dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara tiga tahun bagi individu manakala syarikat boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta.
Pengguna yang ingin menyemak harga atau membuat aduan boleh menghubungi KPDN Miri di talian 085-412862, WhatsApp 019-8488000, Call Centre 1-800-886-800, atau menggunakan aplikasi Ez ADU KPDN.-TVS