Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kuching City FC bakal menghadapi cabaran besar apabila turun menentang JDT pada 17 April depan tanpa dua pemain tonggak, Ramadhan Saifullah dan Danial Amier.

Kuching City FC hilang khidmat Ramadhan dan Danial Amier jumpa JDT

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 20 Mac: Kuching City FC bakal menghadapi cabaran besar apabila turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 17 April depan tanpa dua pemain tonggak, Ramadhan Saifullah dan Danial Amier.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan mengesahkan bahawa kedua-dua pemain tidak dapat diturunkan kerana mereka merupakan pemain JDT yang dipinjamkan ke Kuching City.

“Seperti sedia maklum, kedudukan Ramadhan dan Daniel Amer tidak dapat diturunkan untuk menentang JDT atas kapasiti mereka berdua adalah pemain JDT yang dipinjamkan kepada Kuching City FC.

“Ini satu kehilangan yang besar sebab kita tahu impak kedua-dua pemain terhadap pasukan tahun ini,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.

Menurut Iswandi, pihak pengurusan pasukan dan barisan kejurulatihan yang diketuai Aidil Sharin Sahak telah mengenal pasti pemain yang berpotensi untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Mungkin sekarang ini dengan keadaan Nur Shamie Iszuan yang sudah 100 peratus sembuh dari kecederaan, serta Alif Hassan, kedua-duanya boleh menggantikan tempat Ramadhan dan Danial,” tambahnya.

Kata Iswandi lagi, meskipun kehilangan dua tonggak utama, Kuching City FC dijangka tetap memberikan saingan sengit kepada JDT dengan kehadiran pemain lain yang bersedia menggalas tanggungjawab dalam perlawanan penting tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Iswandi turut mendedahkan bahawa Kuching City dan JDT kini berada di fasa akhir perbincangan mengenai status dua pemain tersebut.

Kata Iswandi, rundingan tersebut bertujuan untuk memastikan perancangan masa depan kedua-dua pemain, sama ada mereka akan terus bersama Kuching City atau kembali ke JDT.

“Sebenarnya, sejak tiga minggu lepas kami sudah berbincang dengan pihak JDT mengenai kedua-dua pemain ini. Namun, rundingan masih berlangsung bagi menentukan status mereka secara rasmi,” katanya.

Iswandi menjelaskan bahawa Daniel Amer masih terikat dengan kontrak bersama JDT, manakala Ramadhan Saifullah hanya berbaki enam bulan lagi dalam kontraknya bersama kelab tersebut.

“Kuching City perlu menunggu keputusan akhir sebelum membuat sebarang langkah lanjut terhadap kedua-dua pemain ini,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan