KUCHING, 20 Mac: Program ‘Jelajah Iftar Sinar Mydin’ yang pertama kali diadakan di Mydin Petra Jaya menerima sambutan luar biasa, dengan lebih 1,000 orang hadir untuk berbuka puasa di ruang terbuka pusat beli-belah tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, yang hadir sebagai tetamu kehormat, memuji Mydin kerana menganjurkan program ini bersama-sama dengan rakan penaja, Cadbury dan Yeo’s.
Menurut beliau, program ini merupakan inisiatif yang amat baik dengan sokongan pihak korporat dalam berkongsi kegembiraan dengan masyarakat.
“Ini sangat penting untuk kesejahteraan sosial kerana kita mahu golongan kurang bernasib baik merasa ada pihak yang prihatin dan tidak mahu mereka merasa terpinggir,” katanya katanya ketika ditemui pada majlis tersebut di MYDIN Petra Jaya pada Rabu.
Fatimah juga menyampaikan ucapan tahniah kepada MYDIN, rakan penaja Cadbury dan Yeo’s, serta semua pihak yang terlibat, khususnya dalam usaha membantu kanak-kanak memperoleh pakaian raya bernilai lebih RM100, selain menikmati juadah berbuka dan coklat dalam suasana penuh keceriaan.
Antara penerima bantuan kebajikan termasuklah 92 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching, yang menerima sumbangan untuk membeli baju raya melalui program Mydin Prihatin Syawal 2025.
Menurut pengetua rumah tersebut, Mohamad Iskandar Mohammed Tudin, beliau sangat menghargai program ini kerana memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk membeli-belah di Mydin secara percuma.
“Ini adalah usaha yang sangat bagus daripada pihak Mydin, kerana kanak-kanak dapat membeli pakaian untuk menyambut Hari Raya dengan penuh kegembiraan,” katanya.

Program ini turut mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Seorang pelajar, Auni Nawwarah, 17, turut menyatakan rasa syukur dan teruja kerana dapat menyertai program ini.
“Saya rasa program ini sangat bagus, terutama pada bulan Ramadan. Kami dapat berbuka puasa bersama rakan-rakan dan juga mendapat sumbangan makanan percuma,” katanya.
Auni berkata peluang seperti ini hanya ada sekali setahun dan ia memberi makna yang besar kepada mereka yang menyertainya.

Bagi seorang suri rumah Emma Syafik, beliau menzahirkan rasa syukur dan gembira dapat turut serta dalam acara tersebut.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur. Vibe program ini sangat baik, rasa seperti semua orang berkumpul tanpa mengira latar belakang. Terima kasih kepada Mydin kerana menyediakan makanan percuma untuk semua,” ujarnya yang berharap program seperti ini diteruskan pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat, Malaysia & Singapura Cadbury, Raja Zalina Raja Safran, turut berkongsi rasa bangga terhadap jenama Cadbury yang telah berada di Malaysia selama lebih 75 tahun.
“Melalui program ini, Cadbury dapat meluaskan lagi sumbangan kami kepada masyarakat dengan berganding bahu bersama rakan kami seperti Mydin untuk menyumbang kembali kepada komuniti di mana kami beroperasi,” kata beliau.

Seramai 22 pelajar Tahfiz dari Madrasah Tahfiz Al-Quran Bidayatul Muhtadih turut dijemput untuk menyertai program ini.
Program “Jelajah Iftar Sinar Mydin” yang diadakan di Mydin Petra Jaya adalah lokasi ketujuh dari keseluruhan acara sepanjang bulan Ramadan, dengan dua lagi program akan diadakan di Kelantan dan Pahang.
Mydin turut mengadakan pembahagian bubur lambuk bersama Adabi serta Bazaar Ramadan Rahmah di premis Petra Jaya dan Semariang. – TVS