PUTRAJAYA, 20 Mac: Penerimaan kepada transformasi digital dalam kalangan peniaga di bazar Ramadan disifatkan sebagai suatu langkah yang baik dan tepat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peralihan oleh peniaga dengan memperkenalkan pembayaran tanpa tunai bagi jualan mereka telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu penjual dan pelanggan.
“Menarik kali ini, misalnya di bazar Presint 14 Putrajaya ini semua pembayaran dilakukan secara tanpa tunai.
“Jadi ini lebih baik dan lebih mesra disebabkan kurangnya transaksi kewangan secara tunai. Pada masa sama, bank yang menawarkan sistem ini juga memberikan rebat kepada peniaga yang mengguna pakai aplikasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Imbas Kod QR dan Bayar Tanpa Tunai di Bazar Ramadan Presint 14, di sini, hari ini.
Menurut Fadillah, terdapat tiga bazar Ramadan yang beroperasi di Putrajaya dengan kesemuanya mengguna pakai sistem pembayaran tanpa tunai.
Terdahulu, Fadillah yang tiba sekitar jam 5:10 petang melakukan ‘walkabout’ di bazar itu dengan menyantuni lebih daripada 100 peniaga. -TVS