MIRI, 20 Mac: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dengan kerjasama Taskforce SWO4 bagi kawasan Miri, Bintulu, Limbang, Marudi dan Lawas mengadakan Program Pengedaran Bubur Lambuk hari ini sebagai inisiatif mengeratkan hubungan antara agensi dan masyarakat setempat.
Menurut Ketua BBP Lutong, Henry Jugah, inisiatif ini bukan sekadar menyemarakkan semangat Ramadan tetapi juga memperkenalkan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada masyarakat.
“Terlebih dahulu, kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada stesen minyak Petronas Jalan Bintang dan Lutong kerana sudi bersama kita dalam program khas ini,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Tambahnya, seramai 16 pegawai bomba BBP Lutong bersama kakitangan Petronas telah bergotong-royong memasak bubur lambuk sejak pagi sebelum diagihkan kepada masyarakat sekitar.
Sebanyak 1,500 bungkus bubur lambuk diedarkan, dengan pengagihan utama berlangsung di Stesen Minyak Petronas Jalan Bintang dan Lutong sekitar jam 4 petang.
Selain itu, bubur lambuk turut dihantar ke agensi kerajaan, syarikat swasta, NGO serta rumah ibadat termasuk Balai Polis Lutong, Pejabat Pos Lutong, Kelab Shell Lutong, beberapa klinik dan farmasi, Gereja di Lutong, Masjid Lutong, Petronas Carigali, MCOT, serta pasukan keselamatan seperti APM dan Sarawak Polis.
“Program ini adalah usaha kami untuk merapatkan silaturahim antara JBPM dengan masyarakat, selain memperkenalkan Balai Bomba dan Penyelamat Lutong kepada komuniti setempat,” tambahnya.
Program yang berlangsung di Stesen Minyak Petronas Lutong dan sekitar Pasar Lutong Lama itu turut mendapat sokongan Petronas Jalan Bintang serta Petronas Stesen Minyak Lutong.
Program bubur lambuk ini merupakan yang pertama kali dianjurkan oleh BBP Lutong dengan kerjasama pelbagai pihak, dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform memperkukuh hubungan antara agensi dan rakyat.