KUCHING, 20 Mac: Forum Ramadan bertemakan ‘Wanita dan Ramadan Meraih Keberkatan Bersama’ menarik penyertaan 250 peserta.
Peserta terdiri daripada ahli Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), MAKSAK Wanita Sarawak, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), pegawai wanita Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
SABATI menerusi kenyataan menyatakan, forum tersebut menekankan kepentingan program keagamaan dalam membantu wanita mendalami ilmu ibadah dan nilai murni sepanjang bulan Ramadan.
“Forum ini menjadi platform penting bagi wanita untuk memahami peranan mereka dalam meraih keberkatan Ramadan bukan sahaja dalam konteks ibadah tetapi juga dalam kehidupan harian dan kesejahteraan keluarga,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, penganjuran forum tersebut merupakan inisiatif strategik SABATI, MAKSAK Wanita Sarawak dan BAKAT yang bertujuan menyemarakkan program keagamaan dan kebajikan khususnya pada bulan Ramadan.
Menurut kenyataan tersebut, forum berkenaan bukan sekadar platform ilmu tetapi menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan dan kegamaan yang boleh dilaksanakan secara bersama oleh tiga pertubuhan wanita tersebut pada masa akan datang.
Pengerusi SABATI, Puan Sri Datuk Amar Juma’ami Tun Tuanku Bujang turut hadir merasmikan forum tersebut.-TVS