RAMALLAH, 19 Mac: Tentera Israel menahan sekurang-kurangnya 40 lagi rakyat Palestin dalam serbuan tentera terbaru di seluruh Tebing Barat yang diduduki pada Selasa, menurut sebuah kumpulan yang memperjuangkan hak tahanan, lapor Anadolu Ajansi.
Bekas tahanan turut termasuk dalam kalangan individu yang ditahan dalam serbuan yang menyasarkan beberapa bandar di Tebing Barat, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Banduan Palestin dalam satu kenyataan bersama.
Penahanan itu berlaku ketika tentera Israel terus melancarkan serangan ketenteraan berdarah di utara Tebing Barat sejak 21 Jan, mengorbankan sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.
Penahanan terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang ditahan tentera Israel di Tebing Barat sejak Oktober 2023 melebihi 15,640 orang, termasuk mereka yang telah dibebaskan selepas ditahan, menurut angka Palestin.
Angka ini tidak termasuk mereka yang ditahan dari Semenanjung Gaza, yang dianggarkan berjumlah ribuan orang.
Tentera Israel turut menyambung semula serangan udara maut di Gaza pada Selasa, membunuh sekurang-kurangnya 404 orang dan mencederakan ratusan lagi, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Januari.
Ketegangan terus memuncak di seluruh Tebing Barat yang diduduki, dengan sekurang-kurangnya 936 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 7,000 cedera dalam serangan oleh tentera Israel dan peneroka haram sejak serangan ke atas Gaza bermula pada 7 Okt 2023, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. -TVS