KUCHING, 19 Mac: Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) akan menggantikan banyak pekerjaan termasuk bidang perubatan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau menyeru agar rakyat di negeri ini bersiap sedia dari sekarang dalam menghadapi perubahan dalam bidang pekerjaan kerana pada masa hadapan banyak peluang pekerjaan memerlukan pekerjaan dalam bidang keselamatan siber dan saintis data.
Mengambil contoh negara China, kata Dr Sim, di China penduduknya sudah tidak lagi membawa wang tunai untuk membeli barangan sebaliknya hanya menggunakan kaedah pengecaman muka sahaja.
“Adakah kita akan kehilangan lebih banyak pekerjaan daripada mendapat lebih banyak pekerjaan? Saya tidak tahu, kerana pada masa depan kita lebih menumpukan kepada bidang teknologi AI.
“Selain itu, kita juga tidak mempunyai ramai penduduk. Seperti India dan China, mereka perlu mewujudkan banyak peluang pekerjaan kerana mempunyai ramai penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan dua kursus baharu, Ijazah Sarjana Muda Sains Data dan Ijazah Sarjana Muda Keselamatan Siber di Universiti Teknologi Swinburne, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI), Datuk Dr Philip Ting dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiti Teknologi Sarawak, Ir Profesor Lau Hieng Ho. – TVS