KUALA LUMPUR, 19 Mac: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan menghakis hak pemilik asal kediaman terutama orang Melayu dan Bumiputera.
Setiausaha Kanan Akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, PSB digubal bagi memastikan kelompok miskin bandar terutama orang Melayu dapat hidup dengan lebih bermaruah.
Jelasnya, Perdana Menteri menegaskan projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi rundingan dengan pemilik bagi mendapatkan persetujuan untuk menyertai projek.
“Selepas persetujuan, pemilik akan menerima semula hartanah berkenaan yang telah diperbaharui, pampasan, manfaat sara hidup serta beberapa manfaat lain semasa peringkat permbinaan dan selepas pembinaan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, RUU PSB merupakan penyelesaian kepada pergelutan antara rakyat dan pemaju yang berlaku sejak sekian lama.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan PSB juga digubal bagi melindungi hak pemilik dengan memastikan pampasan yang adil dan jauh lebih tinggi berbanding sekarang.
Tunku Nashrul berkata, menerusi PSB, nilai pampasan hartanah yang akan diperolehi oleh pemilik adalah berdasarkan kepada nilai pasaran masa hadapan.
“Ini berbeza berbanding situasi semasa, di mana pampasan yang diputuskan oleh perunding atau mahkamah adalah berdasarkan nilai semasa, menyebabkan pemilik tidak mampu memiliki rumah baharu yang harganya jauh lebih tinggi daripada pampasan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Perdana Menteri menegaskan tindakan warga emas menampar seorang pemuda bukan Islam yang makan di khalayak ramai baru-baru ini adalah bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
Insiden sedemikian jelasnyq dapat dielak sekiranya semua pihak patuh dan komited dalam mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara bertamadun.
“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya, terutama di bulan Ramadan, sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan,” katanya. – TVS