KUCHING, 19 Mac: Seorang pesara lelaki berusia 60-an di Sibu mengalami kerugian RM350,000 selepas menjadi mangsa penipuan perniagaan dalam talian tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, mangsa dihubungi seorang individu yang tidak dikenali iaitu suspek melalui aplikasi WhatsApp dan menawarkannya untuk mendaftar perniagaan dalam talian tidak wujud ketika berada di rumahnya pada penghujung Februari 2025.
“Mangsa tertarik dengan tawaran yang menjanjikan pulangan tinggi, seterusnya mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi whatsapp untuk berurusan berkaitan perniagaan dalam talian tersebut.
“Mangsa yang terpedaya telah membuat pembayaran secara pindahan wang dalam talian bermula daripada awal Mac 2025 sehingga pertengahan Mac 2025,” katanya dałam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM350,000.
“Pesara terbabit menyedari dirinya telah ditipu apabila sehingga laporan polis dibuat hari ini mangsa masih belum menerima sebarang pulangan keuntungan daripada perniagaan dalam talian tersebut,” ujarnya.
Kes disiasat mengkut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS