NEW DELHI, 19 Mac: Pakistan bersama negara-negara Islam lain menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk menghentikan perang genosid Israel di Palestin, selepas rejim Benjamin Netanyahu membunuh sekurang-kurangnya 424 penduduk Gaza pada Selasa.
“Pakistan mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Gaza, yang mengorbankan lebih 400 rakyat Palestin yang tidak bersalah, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
“Tindakan kejam ini, dilakukan dalam bulan suci Ramadan, adalah pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata dan satu peningkatan berbahaya yang boleh menggugat kestabilan seluruh rantau sekali lagi.
“Kami menggesa masyarakat antarabangsa agar segera menghentikan keganasan dan menyambung semula usaha diplomatik bagi mencapai keamanan yang berkekalan di Gaza dan Timur Tengah,” menurut Kementerian Luar Pakistan.
Dalam satu kenyataan, Maldives turut menyeru komuniti antarabangsa supaya “bertindak segera menghentikan keganasan, melindungi orang awam yang tidak bersalah dan memastikan Israel bertanggungjawab atas tindakannya.”
Afghanistan pula menyifatkan tindakan rejim Zionis sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan mencabuli nilai kemanusiaan.
“Tindakan rejim Zionis sekali lagi membuktikan bahawa ia adalah sebuah negara pengganas yang hidup dengan menumpahkan darah dan air mata orang yang tidak berdosa, melalui serangan kejam yang dilakukan di Gaza malam tadi,” kata Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, pada Selasa.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut menggesa Majlis Keselamatan PBB supaya “memikul tanggungjawab dengan segera menghentikan pencerobohan Israel” serta memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt memberitahu Fox News bahawa pentadbiran AS dirujuk oleh Israel sebelum melancarkan serangan udara ke atas Gaza. -TVS