KUALA LUMPUR, 19 Mac: Penyakit buah pinggang kronik (CKD) kekal menunjukkan trend kesihatan yang membimbangkan di Malaysia, kata Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, data terkini menunjukkan bahawa bilangan individu didiagnosis CKD meningkat setiap tahun, dengan lebih 10,000 pesakit baharu dikenal pasti memerlukan dialisis dalam tempoh tiga tahun lalu.
“Ini membimbangkan, dapat diunjurkan bahawa jumlah semasa pesakit buah pinggang tahap akhir (ESKD) yang menjalani dialisis kronik ialah kira-kira 53,000.
“Jumlah ini boleh mencecah dua kali ganda menjelang 2040 kepada lebih 106,000 pesakit,” katanya pada majlis anjuran Vantive iaitu “Memajukan Penjagaan Buah Pinggang di Malaysia” sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, sebagai tindak balas kepada isu kesihatan yang semakin meruncing itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan Dasar Pertama Dialisis Peritoneal (PD) dalam semua kemudahan KKM.
Polisi itu kata beliau, mengutamakan dialisis peritoneal sebagai permulaan modaliti rawatan untuk pesakit buah pinggang peringkat akhir.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, bagi menangani peningkatan CKD dan ESKD, KKM terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, bagi membangun dan melaksanakan strategi yang berkesan.
“Dengan peningkatan penyakit buah pinggang di Malaysia, kerjasama antara kerajaan, penyedia penjagaan kesihatan, dan rakan kongsi industri adalah penting untuk membantu meluaskan akses untuk menyelamatkan nyawa dan menggalakkan intervensi awal penyakit buah pinggang,” ujarnya.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Vantive Malaysia yang berperanan sebagai syarikat terapi organ virtual baharu yang menyokong dasar keutamaan dialisis peritoneal oleh KKM. – TVS