KUCHING, 19 Mac: Polis mengesahkan tangkapan ke atas lima lelaki tempatan berkaitan satu video tular yang memaparkan pergaduhan di kawasan Jalan Rubber, Satok di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mereka yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun pada kira-kira 1.40 tengah hari ini.
“Kejadian berpunca ekoran daripada perbuatan membunyikan enjin dan eksos kenderaan dengan kuat dan tiada kaitan dengan sebarang isu perkauman atau etnik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video tersebut kerana boleh menyebabkan kegusaran dan ketenteraman awam dalam kalangan masyarakat.
“Saya menasihati orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri diluar batas undang-undang,” ujarnya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD kuching di talian 082-24444 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzainuddin Rosley Abdullah di talian 010-943-1449.