MUKAH, 19 Mac: Jasad kanak-kanak lelaki yang lemas ketika mandi sungai bersama adik perempuannya di Jambatan Kuning Batang Mukah di sini, dijumpai petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, jasad Dexper Kiu Kuang Wei,10, dijumpai jam 4.40 petang oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian.
“Mayat telah dibawa ke bilik mayat Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasad seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak perempuan masih belum ditemui.
Dalam kejadian petang semalam, dua beradik dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di kawasan berkenaan.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.23 petang dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mukah ke lokasi kejadian.
Dalam kejadian sekitar jam 3.50 petang itu dua kanak-kanak malang ini iaitu Dexper dan Susie Kiu,7, sedang mandi di sungai.
Tiba-tiba kedua-dua mereka tenggelam dibawa arus kerana tidak pandai berenang, cubaan ibu mereka untuk menyelamat anaknya gagal. – TVS