Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Rosey Yunus pada sidang media projek naik taraf jalan pesisir pantai dan beberapa projek Bekenu di Miri, hari ini. Foto (TVS)

Empat projek infrastruktur utama janji manfaat besar untuk penduduk DUN Bekenu

ByVanessa Enjop

MIRI, 19 Mac: Penduduk di kawasan Bekenu bakal menerima manfaat daripada empat projek infrastruktur utama yang akan dilaksanakan bermula pada tahun 2025, termasuk naik taraf jalan, pembinaan jambatan, serta pembangunan tepi laut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, berkata projek-projek ini akan memberi impak besar kepada penduduk dengan meningkatkan kemudahan jalan raya dan akses perhubungan yang lebih selesa.

“Ada empat projek besar yang akan dilaksanakan di kawasan kita di daerah Subis di N71 Bekenu. Yang pertama adalah projek naik taraf jalan dari Sepupok ke Bakam yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) pada Hari Raya tahun lepas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Projek naik taraf jalan sepanjang laluan Sepupok ke Bakam itu dikendalikan oleh Sarcomas Sdn. Bhd. dan dijadualkan bermula pada 2 Januari 2025 hingga 1 Januari 2028 yang menelan kos RM157.9 juta.

Selain itu, projek naik taraf jalan dari Kampung Rambai ke Kampung Bulau juga akan dilaksanakan bagi menghubungkan Bekenu dengan Bulau yang bernilai RM57 juta.

Sebelum ini, penduduk di kawasan Sinup, Mutap dan Bulau masih bergantung kepada laluan sungai, tetapi dengan pembinaan jalan baharu ini, mereka dijangka akan beralih sepenuhnya kepada penggunaan jalan darat.

“Bila jalan ini siap, kami berharap ia akan memudahkan masyarakat setempat menggunakan jalan baharu ini. Akan ada juga jambatan menyeberangi Sungai Sibuti di antara Sinup dan Mutap serta jambatan kecil menghubungkan Mutap ke Bulau (dengan kos RM6 juta).

“Dengan adanya jambatan ini, kampung Bulau yang selama ini terbahagi dua akan dihubungkan dengan jambatan yang boleh dilalui oleh kenderaan. Sekarang ini, penduduk hanya boleh menggunakan jambatan gantung untuk pejalan kaki dan motosikal. Bila jambatan ini siap, ia akan memendekkan perjalanan dan memudahkan pergerakan penduduk,” tambahnya.

Selain itu, pembangunan Waterfront Bekenu di Kampung Rambai turut menjadi sebahagian daripada projek utama bagi memperindah kawasan tersebut.

Projek yang bernilai RM4.13 juta itu akan dilaksanakan oleh ZM Capital Sdn. Bhd. dan dijangka siap dalam tempoh setahun bermula 4 April 2025.

“Untuk makluman, ini adalah fasa pertama pembangunan waterfront. Fasa kedua akan menyambung projek sedia ada ke bahagian hulu sungai dan kini sedang dalam proses penyediaan tender,” jelasnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan