MIRI, 19 Mac: Kerajaan Sarawak terus komited dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan empat projek infrastruktur utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu yang dijangka membawa manfaat besar kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus menegaskan bahawa pelaksanaan projek-projek ini adalah sebahagian daripada agenda pembangunan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan rangkaian jalan raya serta mempertingkatkan kemudahan asas di luar bandar.
“Semua projek ini bukan sahaja akan memperbaiki jaringan jalan raya dan akses pengangkutan, malah turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya dalam Sesi Taklimat Projek Rakyat Bekenu di sini, pada Rabu.
Menurut laporan UKAS, empat projek utama yang akan dilaksanakan meliputi Projek Naik Taraf Jalan Sepupok-Bakam bernilai RM157.9 juta, Projek Naik Taraf Jalan Kampung Rambai ke Kampung Bulau dengan peruntukan RM57 juta, serta pembangunan Waterfront Bekenu di Kampung Rambai bernilai RM4.1 juta yang dijangka menjadi mercu tanda baharu kawasan berkenaan.
Pelaksanaan projek-projek ini dijangka mempercepatkan pembangunan infrastruktur di Bekenu, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Hadir sama dalam sesi taklimat berkenaan ialah Jurutera Bahagian JKR Miri, Ir. Stephen Ung Neng Hui, Penolong Jurutera Bahagian (Pembangunan) JKR Miri, Ir. Ts. Louis Jonathan Philip serta Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis.