Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Siti Hajar (atas kiri), Salmiah Saarani (atas kanan), Muhammad Khairul (bawah kiri) dan Omar Mokhtar (bawah kanan) ketika ditemui TVS di sini, hari ini. Foto Amirrudin Shah (TVS)

Bazar Aidilfitri: Sesak dengan pengunjung, namun ramai sekadar ‘cuci mata’

ByHafeezzur Muzamir

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Majoriti peniaga Bazar Aidilfitri mengakui terkesan berikutan jualan yang kurang memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Berbaki kurang dua minggu lagi sebelum masyarakat Islam menyambut lebaran, peniaga bazar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan Tar) antara yang terkesan dengan penurunan ketara hasil jualan.

Tinjauan TVS mendapati, meskipun kehadiran pengunjung agak ramai, namun rata-rata daripada mereka hanya melihat dan pulang dengan tangan kosong.

Tinjauan TVS mendapati meskipun kehadiran pengunjung agak ramai,namun majoriti mereka sekadar’cuci mata’ dan pulang dengan tangan kosong. Foto, Amiruddin Shah (TVS).

Menurut peniaga baju Melayu, Siti Hajar, 31, dia mengakui pembeli lebih cenderung untuk membeli-belah di platform dalam talian dan hanya berkunjung ke bazar untuk meninjau dan membandingkan harga.

“Tahun ini jualan memang kurang, teruk berbanding tahun-tahun sebelum ni. Mereka lebih gemar berbelanja secara dalam talian. Bagi mereka, ia lebih mudah kerana tidak perlu nak bersesak-sesak ke sini, tidak perlu nak bersusah-payah mencari tempat letak kenderaan dan sebagainya.

”Ia memberi kesan kepada peniaga. Macam saya, tahun lepas sehari 300 pasang baju Melayu terjual, namun tahun ini nak jual 60 pun susah,” katanya.

Senario sama turut dikongsi peniaga kuih raya, Salmiah Saarani, 65 yang mendakwa jualannya merosot meskipun menawarkan harga runtuh kepada pengunjung.

“Mengikut pengalaman tahun- tahun sebelum ini, minggu kedua bazar ini dibuka kebiasaanya ramai yang berbelanja, tapi tahun ini berbeza.

“Sekarang ini orang berhemah ketika berbelanja. Mungkin pengunjung yang datang hari ini,mereka beli baju raya dahulu, biskut atau kuih mungkin hari-hari terakhir.

“Kita harap macam itulah sebab stok masih banyak belum terjual, kesian dekat kami yang sudah keluar modal ini.

“Kadang-kadang risau juga sebab ramai pembeli sekarang ini lebih memilih platform dalam talian seperti TikTok untuk beberlanja, harga jualan di sana pun murah juga,” katanya.

Seorang lagi peniaga baju Melayu, Muhammad Khairul Azhar, 32, berkata, beliau pasrah dengan keuntungan yang semakin berkurangan diraihnya saban tahun.

Pada masa sama dia mengakui berniaga di Bazar Aidilfitri Jalan Tar adalah semata-mata untuk kepuasan dan kenangan kerana sudah bertapak di situ sejak dari kecil.

“(Perniagaan memang) ada naik dan turun tapi sekarang ini memang tengah turun, tak ramai orang datang.

“Macam saya dah berniaga di sini sejak kecil lagi, jadi kita suka-suka dan kita tak nak kecewakan pelanggan tetap kita. Setiap tahun mereka datang ke sini, jadi kita tidak bercadang untuk tutup, tak mahu hampakan mereka.

“Bagi saya, sekarang ini untung dan rugi itu belakang kira,” ujarnya.

Muhammad Khairul berkata, dia turut menggunakan platform dalam talian untuk mempromosikan jualannya dengan mengakui meraih hasil yang lebih tinggi berbanding jualan di bazar Aidilfitri.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Omar Mokhtar, 38, berkata, dia dan keluarganya tetap memilih untuk berbelanja di bazar Aidilfitri berbanding platform dalam talian.

Menurutnya, meskipun harga jualan yang sedikit mahal, dia menyifatkan wujud perbezaan dari segi kepuasan yang lebih cenderung ke arah bazar Aidilfitri.

“Kalau dekat sini, kita dapat tengok barang jualan depan-depan dan boleh cuba. Kalau beli dalam talian kadang-kadang saiznya tidak muat dan susah kalau nak tukar semula.

“Bagi harga pula, saya rasa ia berpatutan sebab kita sebagai pembeli faham harga barang yang semakin naik dan peniaga-peniaga ini perlu bayar sewa tapak, lesen dan sebagainya.

“Keistimewaan kalau kita beli secara fizikal ini lebih banyak sebenarnya, terutama soal tawar-menawar harga, itu kelebihan di sini,” katanya.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan