BUKIT MERTAJAM, 19 Mac: Bayi perempuan baharu lahir, Nathalie Amanda Anak Ningkan memerlukan bantuan dana orang ramai sebanyak RM120,000 bagi menjalani pembedahan jantung.
Bayi berusia sebulan yang berasal dari Bau, Sarawak itu disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Nathalie Amanda didapati mengalami masalah kesukaran bernafas sejurus dilahirkan.
Katanya, tahap oksigen dalam badannya telah menurun secara mendadak sebelum dikejarkan ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk mendapatkan oksigen tambahan.
“Doktor kemudian mengesahkan bayi menghidap beberapa masalah jantung yang serius, termasuk transposisi arteri besar (TGA), kecacatan septum ventrikel (VSD), penyempitan aorta dan hipoplasia aorta.
“Pembedahan jantung dengan segera perlu dilakukan demi menyelamatkan nyawa anak tunggal dalam keluarga itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya, pembedahan tersebut perlu dilaksanakan di hospital pakar di Kuala Lumpur, namun keluarganya tidak mempu menampung perbelanjaan yang keseluruhannya sebanyak RM120,000.
“Kita berbesar hati membantu mengumpul dana daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan.
“Sebahagian lagi iaitu kos penerbangan untuk ibu dan bayi ke Semenanjung Malaysia akan ditampung pihak hospital di Sarawak, manakala kos perjalanan dan penginapan ditanggung sendiri.
“Bapa bayi, Ningkan Anak Dickie berusia 36 tahun bekerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan rendah dan ibunya, Norline Anak Saban, 38, tidak bekerja selepas bersalin,” katanya lagi.
Katanya, oleh kerana keadaan mendasak, bayi itu telah selamat diterbangkan dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur dan dijangkan menjalani pembedahan pada hari ini.
Menurut Sui Hau, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau di laman web onehopecharity.org.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – TVS