KUCHING, 18 Mac: Festival What About Kuching (WAK) 2025 kembali lagi pada edisi ketujuh pada Oktober depan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bertemakan ‘Roots’, menurut Abdul Karim penganjuran WAK 2025 menekankan acara yang menyasarkan golongan akar umbi daripada pelbagai genre seni.
“Penggiat seni dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam, malah dari Kalimantan, Indonesia, Singapura, Semenanjung Malaysia dan negara serantau yang lain turut dialu-alukan untuk melayari laman web www.aboutkuching.com untuk menyertai acara seni, budaya dan gaya hidup ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival WAK 2025 di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Tambahnya, Festival Sibu dan Festival Miri juga akan diadakan sempena dengan Festival WAK 2025.
“Seperti yang saya nyatakan, ia tidak hanya dilangsungkan di Kuching. Ia juga akan berada di Sibu pada 6 hingga 8 Jun manakala di Miri pada 13 hingga 15 Jun.
“Ia akan menjadi festival berbilang genre yang didorong komuniti Akses Terbuka terbesar di Borneo,” ujarnya lagi.
Orang ramai boleh ikuti laman sosial aboutkuching.wakxsibu.wakxmiri untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara tersebut. -TVS