KUCHING, 18 Mac: Sarawak bakal mengadakan Persidangan Literasi Bahasa Inggeris Sarawak (SELC) 2025 yang berlangsung pada 17 hingga 19 September 2025 di Hikmah Exchange Event Centre di sini.
Persidangan tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta Business Events Sarawak (BESarawak).
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, SELC 2025 menandakan permulaan inisiatif transformatif yang bertujuan meningkatkan literasi Bahasa Inggeris sebagai pemacu utama pendidikan dan pertumbuhan profesional.
“Dalam dunia yang semakin global, literasi Bahasa Inggeris bukan sekadar alat komunikasi, tetapi pintu kepada peluang yang lebih besar, pencapaian akademik dan pemerkasaan ekonomi.
“Penguasaan Bahasa Inggeris membolehkan individu mengakses sumber pengetahuan yang luas, bersaing dalam pasaran pekerjaan antarabangsa serta berinteraksi dengan yakin dalam pertukaran budaya.
“Di Sarawak, di mana kepelbagaian budaya menjadi kekuatan kita, penguasaan Bahasa Inggeris melengkapkan warisan pelbagai bahasa kita dan membuka lebih banyak peluang untuk masyarakat kita dalam perbincangan di peringkat tempatan dan global,” katanya pada sidang media hari ini.
Menariknya, SELC 2025 juga akan memperkenalkan perbincangan mengenai Integrasi STEM-Fonik, iaitu penggunaan Jolly Phonics dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mengukuhkan pembelajaran dalam kedua-dua bidang.
Sementara itu, Penyelaras Projek untuk Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC), Dr. Steve Ancheh berkata, SELC 2025 juga sebagai plaform untuk memastikan pendidikan literasi dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar komited untuk memperkasakan para pendidik, meningkatkan pencapaian pelajar dan menggalakkan penglibatan komuniti. Dengan bekerjasama, kita dapat mengubah cara literasi diajar dan merapatkan jurang antara literasi dan STEM,” katanya.
SELFC 2025 akan menampilkan penceramah dan pakar terkemuka seperti Gilbert Jolly, Sara Wernham dan Sarah Dagnell.
Acara ini dijangka menarik penyertaan sekitar 1,000 perwakilan, termasuk pendidik, pelajar, pemimpin korporat dan pegawai kerajaan dari seluruh Sarawak.
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh melayarai laman web sarawakenglishliteracyconf@gmail.com atau hubungi sekretariat persidangan di +6082 555 189.-TVS